Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pemain boling kebangsaan, Syazirul Shamsudin berjaya meraih kejuaraan antarabangsa sulungnya di Singapura, hari ini. Foto Sunway Megalanes.

Menang RM49 ribu di Singapura, atlet Malaysia mahu beli baju raya untuk keluarga

ByFirdaus Ismail

KUCHING, 9 April: Kejayaan menjuarai Kejohanan Boling Sonic Antarabangsa 2023 di Singapura petang tadi turut memberikan ‘duit raya besar’ lebih RM49 000 kepada atlet boling negara, Muhammad Syazirul Shamsudin.

Pemain boling berasal dari Kedah yang berusia 23 itu berkata, dia akan menggunakan hadiah kemenangan itu untuk membantu keluarganya.

“Saya sangat berpuas hati, ini (hadiah) akan digunakan untuk membeli baju raya buat ahli keluarga.

“Kami bukan orang senang, jadi akan tolong keperluan Hari Raya Aidilfitri,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.

Pada aksi akhir di Pusat Boling Sonic, Yishun, Muhammad Syazirul mara ke peringkat step ladder selepas menduduki tempat ketiga dengan mengumpul 1,723 pin.

Dalam laluan bergelar juara pula, pemenang pingat perak Sukan SEA di Vietnam tahun lepas itu menewaskan rakan senegara, Rafiq Ismail dengan keputusan 186 berbalas 180 pin.

Dia kemudian meneruskan rentak cemerlang dengan menewaskan seorang lagi pemain Malaysia, Jonathan Chan pada perlawanan kedua.

Aksi final pula menemukan Muhammad Syazirul dengan pemain tuan rumah, Jonovan Neo yang mendapat sokongan padu penonton.

Begitupun dia mempamerkan ketenangan apabila menang 215 – 189 dan 219 berbalas 186 pin.

Ditanya tentang perasan meraih gelaran antarabangsa sulung, Muhammad Syazirul berkata, kejuaraan itu tidak hadir dengan mudah memandangkan bertanding pada bulan puasa.

“Sebenarnya sangat mencabar kerana boling memerlukan stamina, ada ketikanya saya berasa dahaga ketika sedang beraksi.

“Apa yang saya lakukan ialah makan dan minum air secukupnya pada waktu sahur,” katanya yang turut tidak menyangka menewaskan pemain senior kebangsaan.

Sementara itu, dia turut memberitahu akan meneruskan latihan selepas ini bagi berdepan kejohanan berikutnya di Filipina selain akan menyertai Terbuka Malaysia 2023.

Dua pemain boling kebangsaan yang berasal dari Sarawak, Nerosha Keligit dan Gillian Lim yang turut menyertai kejohanan itu masing – masing menamatkan cabaran di tempat ke -12 dan 32. -TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan