Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dr. Abdul Rahman dan kenamaan yang hadir merakam gambar sebelum majlis penangguhan Program Bicara Ramadan sempena Nuzul Al-Quran Peringkat Sarawak di Hotel Seri Malaysia Lawas berakhir. Foto: Pusat Khidmat Bukit Kota

Kemajuan pendidikan anak Sarawak sentiasa diambil berat

LAWAS, 9 April: Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak (BPP-MIS) yang ditubuhkan pada Oktober 2007, bukti jelas Kerajaan Sarawak melalui MIS mengambil berat kemajuan pendidikan anak-anak Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, BPP-MIS adalah satu daripada tiga agensi di bawah naungan MIS yang bertanggungjawab membantu badan itu menjalankan peranan dan tanggungjawab terhadap pendidikan ummah dalam memperkasa umat Islam di Sarawak.

“Hasrat ini direalisasikan dengan pelbagai inisiatif program pendidikan dalam komuniti berpusatkan masjid atau sekolah berhampiran di kawasan yang memerlukan.

“BPP-MIS juga berusaha membina dan memperluaskan jaringan kerjasama daripada ahli akademik, ilmuwan, para profesional dan agensi berkaitan agar dapat menjadi rakan kongsi kepada institusi masjid,” katanya pada majlis penangguhan Program Bicara Ramadan sempena Nuzul Al-Quran Peringkat Sarawak di Hotel Seri Malaysia Lawas semalam.

Teks ucapan beliau dibaca oleh Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail.

Turut sama Yang Dipertua MIS, Datuk Misnu Taha, Pengarah Penyelidikan Unit Pengurusan Penyelidikan Institut Kefahaman Islam Malaysia, Dr. Shaikh Mohd Saifudden Shaikh Mohd Salleh, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Malaysia Sabah, Dr. Sarip Adul dan kenamaan lain.

Kata Awang Tengah lagi, Kerajaan Sarawak sentiasa komited menjadikan Al-Quran sebagai panduan utama bagi menjaga akidah dan syariat umat Islam.

Katanya, ia sesuai dengan peristiwa Nuzul Al–Quran, Kerajaan Sarawak sentiasa memastikan Al–Quran dijadikan panduan kehidupan masyarakat Islam di Sarawak.

“Al-Quran yang kita miliki bukan sahaja perlu dibaca, malah ia harus dihayati dan dipraktikkan dalam kehidupan seharian kita.

“Sebagai umat Islam, Al-Quran adalah panduan yang paling lengkap dan merupakan kitab agung yang menjadi panduan umat Islam dalam segenap aspek kehidupan.

“Kita ketahui, perkara ini begitu mudah untuk disebut dan sering diulang-ulang di mana sahaja. Namun begitu, kita seharusnya bermuhasabah adakah kita dapat memahami, menghayati dan mengamalkan isi kandungan Al-Quran,” ujarnya.

Kandungan ayat-ayat Al-Quran itu, jelasnya, terkandung intipati, pengajaran dan ilmu yang menjadi khazanah bernilai untuk umat Islam mencapai kejayaan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan