SEBUAH dokumentari yang mengisahkan seorang sejarawan Sarawak yang mengembara ke seluruh pelosok negeri Sarawak untuk mencari asal usul, jati diri, ketamadunan dan peradaban bangsa Melayu Sarawak yang kian pudar atau hilang.
Dokumentari 13 episod ini memperlihatkan sejarawan ulung Sarawak yang berasal dari Lawas, Datu Dr Haji Sanib Saib mengembara ke setiap pelosok Bumi Kenyalang untuk menyingkap sejarah lama yang tersimpan di sini, jauh sebelum kedatangan penjajah James Brooke lagi.
Kisahnya bermula sejak dari Jabatan Sejarah Universiti Malaya sebagai mahasiswa jurusan sejarah namun memiliki hasrat untuk mengangkat martabat ilmuan sejarah negeri Sarawak ke satu tempat yang tinggi setanding dengan peradaban dan tamadun yang tercatat dalam sejarah.
Dari misi pencarian negeri Santubong di muara Santubong sehingga ke Lidah Tanah, mencari negeri Saribas di lembah Saribas, menjejaki negeri Kalaka di Kabong, mendatangi Lembah Batang Lupar dan Lingga untuk menjejaki negeri Banting dan akhirnya menjelajah ke kawasan Samarahan untuk mencari negeri Samarahan.
Bukti-bukti penemuan sejarah hasil penyelidikan beliau selama empat dekad didedahkan dan didokumentasikan dalam bentuk visual dan lakonan semula pasti akan membuka lembaran baharu dalam penyusunan pensejarahan negeri Sarawak.
Jadi, bagaimanakah tercetusnya pensejarahan awal yang hilang?
Ikuti misi mencari negeri Melayu yang hilang di Bumi Kenyalang bersama pakar sejarah Sarawak dan Pengurus Besar Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak, Datu Dr. Haji Sanib Said pada setiap Isnin jam 12.30 tengah hari di TVS, saluran 122 Astro dan MYTV serta juga boleh saksikan di YouTube TVS Entertainment. – TVS