LUNDU, 9 April: Seramai 50 golongan asnaf di daerah Lundu menerima sumbangan berupa wang tunai berserta hamper dan buah kurma dari Pusat Khidmat N3 Tanjong Datu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, sumbangan itu dihulurkan bertujuan bagi meringankan beban golongan itu terutama menjelang musim perayaan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.
Ia juga sebagai bukti keprihatinan Pusat Khidmat N3 Tanjong Datu terhadap golongan tersebut. Pusat Khidmat N3 Tanjong Datu tidak pernah melupakan golongan asnaf yang memerlukan bantuan di kawasan ini.
“Diharap sumbangan ini dapat meringankan beban golongan asnaf dalam menyambut perayaan Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar bersama Pemimpin yang diadakan di Masjid Pehin Sri Haji Adenan Satem di sini, petang semalam.
Program bantuan kepada golongan asnaf tersebut adalah kali ketiga diadakan selepas sebelumnya diadakan di Sempadi dan Sematan
Dalam majlis yang sama Azizul turut menyumbang sebuah meja khas bagi kegunaan penceramah bertauliah mengadakan ceramah agama di masjid berkenaan.
Turut hadir Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Nancy Shukri dan Pegawai Daerah Lundu Gustian Durani. -TVS