KUCHING, 8 April: Program Misi Kembara Bantuan Asnaf MyRamadan anjuran Halaqah Kemajuan Muslim Sarawak (HIKAM) telah mengagihkan sebanyak 500 pek makanan di seluruh Sarawak sempena bulan Ramadan.
Menurut Pengarah MyRamadan 2023, Muhammad Syahazlan Sahmat, sumbangan berupa pek makanan asas seperti beras, gula, minyak dan lain-lain akan disalurkan kepada golongan asnaf, golongan memerlukan serta ibu tunggal di seluruh Sarawak bagi meringankan beban para penerima bantuan.
“Pada tahun 2023, kita mensasarkan lebih 10 bahagian di mana kita bermula daripada Kuching, Kota Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Bintulu, Mukah, Miri dan juga bahagian lain seperti Pusa, Spaoh, Debak dan sebagainya dan hari ini adalah hari permulaan kita bergerak iaitu pada 8 hingga 16 April kelak namun cuma satu bahagian sahaja telah bermula lebih awal mengikut komitmen mereka adalah daripada Sarikei yang dikendalikan oleh JAIS Sarikei.
“Pada masa sama, program ini juga dapat memberi peluang kepada para pelajar dan para sukarelawan terutamanya untuk bercampur bersama masyarakat, di samping membentuk ‘skills set’ mereka iaitu daripada aspek pembentukan sahsiah, akhlak serta pengukuhan ilmu.
“Saya yakin dengan usaha ini, kita dapat membentuk belia yang holistik, bukan sahaja hebat dalam pendidikan tetapi hebat secara keseluruhannya selari dengan aspirasi Sarawak dalam menuju Sarawak Maju 2030,” beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Misi Kembara Bantuan Asnaf MyRamadan di Masjid Darul Hana, Jalan Tun Salahuddin pagi tadi.
Pada masa sama, Syahazlan berkata, sebanyak 167 pek makanan akan diagihkan kepada golongan asnaf di kawasan Kuching, Kota Samarahan dan Serian pada hari ini.
Beliau berkat,a program ini dengan kerjasama oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Sarawak Volunteers, Sarawak Energy, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dan HAPM Consultants Sdn Bhd itu melibatkan sehingga 200 sukarelawan yang majoritinya terdiri daripada golongan mahasiswa dari Fakutli Komputer Sains dan Teknologi Maklumat, UNIMAS yang bertugas di bahagian Kuching, Kota Samarahan dan Serian.
Timbalan Dekan Fakutli Komputer Sains dan Teknologi Maklumat UNIMAS Dr Yanti Rosmunie Bujang berpendapat program tersebut dilihat dapat memberi pendedahan kepada mahasiswa dalam berkhidmat kepada komuniti terutamanya kepada golongan memerlukan.
“Ini merupakan satu-satunya masa yang amat sesuai untuk kita mendedahkan pelajar kepada aktiviti luar dan disamping itu juga, saya yakin program ini dapat mengimbangkan cara hidup pelajar.
“Selama ini kita sering mendengar pelajar yang mempunyai masalah kemurungan dan bila kita bawa pelajar keluar nanti, kita yakin benda ini akan mendedahkan kepada mereka ke arah aktiviti sosial yang lebih sihat berbanding dengan duduk dalam kelas dan duduk di kolej sahaja,” katanya ketika ditemui TVS.
Bagi sesiapa yang berminat untuk menghulurkan sumbangan, boleh disalurkan terus ke akaun Bank Islam atas nama Pertubuhan Halaqah Kemajuan Muslim di 11013010086159. – TVS