KUCHING, 8 April: Program Kejiranan Mesra (KJM) menjadi platform mengeratkan kemasyarakatan khususnya di kawasan taman perumahan di sekitar bandar raya ini.
Timbalan Menteri Di Jabatan Premier (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Aman Ghazali berkata, penglibatan masyarakat setempat amat penting dalam memastikan sesebuah kejiranan itu menjadi kawasan yang bersih, cantik dan selamat.
“Sebab itulah saya meyeru kepada semua KJM yang ada di Samariang ini untuk terus menggunakan platform yang ada ini berikutan ia disokong sepenuhnya oleh pihak Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) yang turun padang dan sentiasa mendampingi masyarakat.
“Menerusi DBKU ini kita juga dapat mengetahui masalah masyarakat dan kalau boleh kita menggunakan platform KJM ini untuk membantu sedikit sebanyak masalah yang mungkin dihadapi masyarakat setempat yang ada KJM ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Agihan Bubur Pedas Kejiranan Mesra Samariang di sini Hari ini.
Menurut Sharifah Hasidah, Kerajaan Sarawak tidak mempunyai masalah untuk melaksanakan pembangunan daripada aspek fizikal walaupun kadangkala ia sedikit lambat namum tetap dilaksanakan.
Bagaimanapun tegasnya usaha itu tidak lengkap jika pembangunan modal insan tidak diselarikan dengan aspek pembangunan fizikal.
“Untuk kita capai negara maju menjelang tahun 2030, negara yang berpendapatan tinggi, bukan hanya kita mahu pembangunan fizikal sahaja tetapi harus selari dengan pembangunan modal insan,” katanya.-TVS