KOTA KINABALU, 8 April: Masalah bekalan air akan diatasi sebaik mungkin menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.
Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmey Yahya berkata, jaminan itu diberikan menerusi arahan yang dikeluarkan kepada Jabatan Air Negeri bagi memastikan tiada masalah bekalan air menjelang bulan Syawal yang akan tiba tidak lama lagi.
“Kita memang mengalami masalah air di negeri ini, walau bagaimanapun saya telah berpesan kepada Jabatan Air memastikan catuan air itu dapat dijalankan dengan baik dan sekiranya ada kawasan-kawasan yang mengalami tekanan air rendah mereka boleh memaklumkan Jabatan Air melalui careline mereka untuk tindakan yang sewajarnya sama ada kita hantar lori air dan sebagainya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Iftar Ramadan bersama Rumah Anak Yatim As Sakinah dan pengamal media malam tadi.
Dalam pada itu katanya, sebuah jawatankuasa khas atau mekanisme akan ditubuhkan bagi memantau isu Air Tidak Berhasil (NRW) yang berpunca daripada penggunaan bekalan air secara tidak sah di negeri itu.
Jelasnya, Kerajaan negeri Sabah sedang mencari jalan penyelesaian yang menyeluruh bagi mengatasi bekalan air terutamanya di Pusat Bandar.
Sementara itu, mengulas mengenai Majlis Iftar Ramadan, Shahelmey berkata, majlis tersebut bertujuan meraikan anak-anak yatim yang kurang bernasib baik dan rakan – rakan media. – TVS