SIBU, 8 April: Tindakan dua remaja merempit di Jalan Awang Ramli Amit dan Dataran Sibu mengundang padah setelah ditahan polis pada awal pagiĀ ini.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, masing-masing mereka berusia 16 dan 22 tahun itu telah dibawa ke Balai Polis Trafik Sungai Merah Sibu untuk Siasatan sebelum dibenarkan pulang untuk bersahur.
“Dua lelaki terbabit merupakan antara 13 remaja lelaki yang diperiksa dalam Operasi Samseng Jalanan yang dijalankan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penyiasatan Trafik IPD Sibu selama lebih empat jam.
“Pihak kami telah mengambil tindakan terhadap kedua-dua remaja tersebut dan mereka akan disiasat dibawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang secara melulu dan merbahaya,” katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.
Dalam operasi sama, katanya pelbagai kesalahan telah diambil tindakan saman manakala tiga buah motosikal turut ditahan.
Antara kesalahan lain yang dikesan termasuk kesalahan tiada lesen memandu, ubahsuai ekzos, tiada cermin sisi, plat nombor fancy dan brek tidak berfungsi.
Zulkipli menasihatkan orang ramai supaya mematuhi undang-undang jalanraya dan para ibu bapa juga disaran supaya memantau dan peka dengan aktiviti anak-anak mereka agar tidak tidak terlibat dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang.