MIRI, 8 April: Persatuan Renang Amatur Miri (MASA) bakal menghantar tujuh perenang ke Kejohanan Renang Kumpulan Umur Jemputan Malaysia (MIAG) di Kuala Lumpur pada 13 hingga 16 April ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin, melihat perkara itu sebagai satu yang dibanggakan dan berharap akan menyuntik semangat kepada lebih ramai perenang di Miri untuk mewakili Sarawak pada masa hadapan.
“Saya gembira kerana kali ini kita dapat melahirkan tujuh perenang dari Miri untuk mewakili Sarawak pada Kejohanan Kumpulan Umur Jemputan Malaysia (MIAG) 2023 dan saya berharap dengan pertandingan ini kita akan memotivasikan lebih ramai perenang di Miri untuk meningkatkan taraf dan mempunyai lebih ramai perenang Sarawak dari Miri untuk mewakili Sarawak seterusnya kita juga dapat mewakili kumpulan perenang untuk Malaysia pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi penyerahan saguhati kepada tujuh perenang MASA di pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Senadin pada Sabtu.
Beliau juga berharap pihak Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) untuk mengutamakan dan membawa jurulatih renang sepenuh masa di Miri supaya Miri dapat dijadikan sebagai pusat sukan renang.
“Jadi kita berharap Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dapat mengutamakan jurulatih sepenuh masa di sini di Miri supaya kita boleh menjadikan Miri sebagai pusat sukan renang. Seperti yang kita lihat, Miri mempunyai beberapa perenang berpotensi muda yang boleh dilatih. Kini mereka boleh mewakili Sarawak. Semoga kita dapat melahirkan lebih ramai perenang dari Miri untuk mewakili Sarawak pada masa hadapan,” tambah beliau lagi.
Pada masa yang sama dalam sesi penyerahan tersebut beliau telah memberi sumbangan sebanyak RM10,000 kepada MASA bagi menjalankan lebih banyak aktiviti latihan renang pada masa akan datang.
Tujuh perenang MASA juga bakal mewakili negara untuk Kejohanan Renang Kumpulan Umur SEA ke-45 2023 di Jakarta Indonesia yang dijangka pada 31 Ogos sehingga 2 September tahun ini. – TVS