KUCHING, 7 April: Setelah 15 tahun beroperasi di pusat membeli belah The Spring, Kuching, gedung pakaian Parkson bakal menamatkan operasi di premis berkenaan.
Sehubungan itu, Parkson mengadakan promosi jualan penutupan bermula hari ini (7 April) hingga 24 April 2023.
Tinjauan TVS mendapati orang ramai mula menyerbu gedung menjual pakaian dan pelbagai peralatan rumah itu seawal 10 pagi.
Ada juga yang mengambil kesempatan ini untuk membeli keperluan menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti.
Turut berlaku kesesakan lalu lintas di persimpangan masuk ke pusat membeli-belah berkenaan.
Menurut sumber dari Parkson The Spring, stok barangan yang sedia ada akan dipindahkan ke cawangan Parkson Plaza Merdeka dan Parkson Vivacity Megamall.
Orang ramai yang ingin berkunjung ke sini boleh berbuat demikian pada waktu operasinya 10 pagi hingga 10 malam. – TVS