KOTA SAMARAHAN, 7 April: Bagi memeriahkan suasana Ramadan dan Aidilfitri, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) mengadakan pertandingan hiasan antara kolej-kolej dengan tema ‘bertuntong’.
Naib Canselor UNIMAS, Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, pertandingan tersebut bertujuan untuk menambahkan kemeriahan sambutan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri dalam kalangan pelajar.
Menurutnya, program seumpama ini berupaya mencungkil bakat dari setiap kolej kediaman dari segi kreativiti dan kerjasama berpasukan.
“Saya berharap pertandingan yang kita anjurkan ini akan memberi sedikit kemeriahan dan keceriaan kepada kita semua di UNIMAS yang menyambut Ramadan dan seterusnya menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Kita juga dapat merasai suasana Hari Raya Aidilifitri dan pelajar pastinya akan terubat rindu pada kampung halaman terutamanya kepada pelajar dari luar Sarawak yang tidak dapat pulang ke kampung,” katanya pada majlis perasmian pertandingan berkenaan di sini, semalam.
Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Perwakilan Kolej Allamanda, Arina Min Sedin berkata pertandingan hiasan antara kolej-kolej bermula pada 4 April sehingga 8 April. Keputusan pertandingan akan diketahui pada minggu hadapan.
Pertandingan tersebut melibatkan hiasan rumah dan ruang awam dengan pelita minyak tradisional, lampu LED hiasan dan gerbang serta akan dinilai berdasarkan kreativiti, daya tarikan, kebersihan dan aspek-aspek lain.
Pemenang tempat pertama akan menerima hadiah wang tunai RM1,000, tempat kedua RM500 dan RM300 untuk tempat ketiga. – TVS