MUKAH, 7 April: Usaha mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa yang dipercayai masih hilang dalam tragedi kapal karam di perairan Tanjung Jerijeh, Belawai gagal ditemui hari ini.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Gilbert Tinggak Numpang berkata mangsa belum ditemui setakat jam 2.30 petang dalam operasi memasuki hari keempat itu.
Katanya, keluasan sektor operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) dikoordinasikan oleh Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Kuching merangkumi keluasan 28.32 batu nautika persegi.
Baca artikel berkaitan:
1. Bot Karam: Lima mangsa terapung 18 jam, usaha cari seorang mangsa diteruskan hari ini
2. Bot terbalik, lima selamat seorang masih hilang
“Selain Maritim Malaysia, operasi turut dibantu Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan kekuatan seramai 46 orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa yang sama ujar beliau, operasi turut dibantu oleh 13 buah bot nelayan tempatan.
Ketika pencarian katanya, cuaca dilaporkan baik dengan arah angin bertiup dari Barat Daya dengan kelajuan angin 20 kilometer hingga 30 kilometer sejam serta ketinggian ombak 1.0 meter hingga 1.5 meter.
“Tiada sebarang petunjuk baru ditemui oleh pasukan penyelamat setakat pencarian hari ini.
“Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya. – TVS