KUCHING, 7 April: Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berhasrat mengeluarkan simpanan disaran agar menimbang semula perancangan mereka.
Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Dato Dr Madeline Berma berkata mereka perlu memikirkan kedudukan kewangan yang bakal dihadapi mereka setelah bersara jika mahu membuat pengeluaran awal.
Beliau menasihatkan para pencarum agar tidak mengeluarkan caruman jika hanya untuk membeli barangan sempena perayaan dan bukan dalam kategori mendesak.
“Saya rasa sebaik-baiknya pencarum perlu berfikir dua tiga kali sebelum mengeluarkan untuk tujuan tersebut sebab sebenarnya itu adalah wang untuk masa depan apabila bersara nanti.
“Ini adalah untuk mengelakkan situasi pekerja jatuh miskin selepas bersara kerana tidak mempunyai caruman yang boleh menyuarakan kelangsungan hidup,” katanya ketika dihubungi TVS pada Khamis.
Simpanan persaraan akan lebih terjamin apabila diuruskan KWSP yang terbukti melakukan pelaburan cekap justeru membolehkan wang caruman akan menghasilkan dividen.
“Kalau semua rakyat atau pencarum mengeluarkan sebahagian besar daripada tabung caruman simpanan mereka maka jumlah keseluruhan ini akan berkurangan dan ini akan menjejas juga caruman dan juga simpanan mereka yang tidak mengeluarkan,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai isu pihak yang mendesak pengeluaran KWSP dilakukan menjelang Aidilfitri, ia dilihat sebagai kategori tidak mandatori memandangkan negara kini semakin pulih dari ancaman COVID-19.
Pada 3 April lalu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli telah membahaskan isu mengapa pihak kerajaan tidak membenarkan pengeluaran bersasar KWSP.
Beliau menjelaskan bahawa kerajaan bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan rakyat dan buka memilih jalan singkat semata-mata. – TVS