Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan ketika menghadiri Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis Daerah Lawas di Hotel Seri Malaysia Lawas semalam. Foto: Adeng Idrus

Ahli Majlis Daerah Lawas perlu proaktif dan responsif kepada rakyat – Awang Tengah

LAWAS, 7 April: Ahli-ahli Majlis Daerah Lawas (MDL) disarankan bersikap proaktif dan responsif dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, mereka perlu peka dan sentiasa berfikiran jauh ke hadapan dalam menyelesaikan segala masalah yang dihadapi rakyat.

Beliau menambah mereka perlu menyampaikan perkhidmatan yang efisien terhadap sebarang permasalahan rakyat dan bukannya hanya bertindak selepas menerima aduan daripada rakyat.

“Mana yang dapat kita selesaikan, kita buat penyelesaian dan mana yang perlu perancangan yang panjang kita akan usahakan, kita kerjasama.

“Jangan tunggu orang buat aduan dan rungutan baru kita ambil tindakan, tidak boleh. Kita harus proaktif,” katanya pada Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis Daerah Lawas di Hotel Seri Malaysia Lawas pada Jumaat.

Hadir sama Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, Residen Bahagian Limbang, Yunus Tambi, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa dan Pegawai Daerah Lawas merangkap Pengerusi MDL, Ladin Atok.

Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak itu berkata lagi setiap ahli majlis perlu memainkan peranan untuk menyumbang kepada pembangunan di Daerah Lawas.

“Inilah yang diperlukan daripada kita semua, jadi terima kasih banyak dan kita mahu Lawas ini akan terus membangun. Lawas ini akan menjadi satu tempat yang selamat untuk kita didiami, aman, makmur, sejahtera, masyarakat hidup dalam harmoni dan kita berusaha untuk membangunkan Lawas ini.

Sebab itu kita perlukan kerjasama. Kita mahu melaksanakan lapangan terbang yang baharu dan kita juga mahu pelabuhan yang baharu,” ujarnya lagi.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan