KUALA LUMPUR, 7 April: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan pelakon Amelia Henderson membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada penerbit filem dan drama A. Aida kerana melanggar kontrak penggambaran drama berjudul `Sekali Lagi Cinta Kembali’, tahun lepas.
Hakim Zulqarnain Hassan membuat keputusan itu selepas membenarkan tuntutan saman difailkan A. Aida atau nama sebenarnya Datuk Zaidah Awang, 53, menerusi syarikatnya, A. Aida Production Sdn Bhd selaku plaintif terhadap Amelia, 28, atau nama penuhnya Amelia Thripura Henderson sebagai defendan.
Mahkamah memerintahkan Amelia membayar ganti rugi am RM90,000; pemulangan bayaran pendahuluan selepas menandatangani kontrak perjanjian sebanyak RM3,920; dan RM101,325 bagi pembayaran kos penggambaran serta kos RM18,000 kepada plaintif.
Hakim itu turut membenarkan permohonan A. Aida untuk mendapatkan perintah injunksi bagi menghalang Amelia daripada menerbitkan kenyataan fitnah yang sama terhadapnya selain pelakon drama ‘Kisah Cinta Kita’ itu perlu memohon maaf kepada plaintif di akaun Instagramnya @ameliath dan memadam video mengandungi kenyataan fitnah dalam tempoh tujuh hari bermula hari ini.
Zulqarnain dalam penghakimannya berkata mahkamah mendapati walaupun kontrak bukan ditandatangani oleh Amelia, namun tandatangan itu dibuat oleh pengurusnya, Siti Norsyuhada Abdul Kadir (SD1) dengan kuasa sah yang diberikan oleh pelakon tersebut.
“Tiada alasan untuk mahkamah menolak keterangan SD1 kerana beliau adalah saksi yang dikemukakan oleh defendan sendiri. Kontrak yang dipersetujui antara plaintif dan defendan yang dikemukakan di mahkamah menunjukkan tawaran lakonan kepada defendan sebagai ‘Aira’ iaitu watak utama dalam drama tersebut.
“Mahkamah telah meneliti kontrak yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak di mana defendan telah diikat dengan kontrak yang ditandatangani. Menolak terma kontrak bukan lagi suatu pilihan dan defendan hendaklah menunaikan kontrak yang ditandatanganinya.
“Kontrak bukan semata-mata untuk rekod simpanan pengurus, ia sentiasa ‘hidup’ dan mengikat defendan,” kata hakim itu dan menambah kata-kata defendan dalam Instagram miliknya adalah memfitnah dan mengaibkan plaintif seolah-olah plaintif tidak profesional.
A. Aida dilihat mengalirkan air mata selepas mendengar keputusan mahkamah.
Pada 28 Julai 2022, A. Aida Production menyaman Amelia berhubung pelanggaran kontrak drama berkenaan apabila pelakon wanita itu menarik diri di saat akhir daripada penggambaran drama tersebut.
Menurut pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa Amelia telah menerima bayaran pertama sebanyak RM3,920 selepas menandatangani perjanjian kontrak serta bersetuju memberikan sepenuh komitmen bagi menjayakan drama tersebut.
Bagaimanapun, plaintif mendakwa Amelia membuat keputusan untuk menarik diri walaupun terdapat rundingan antara kedua-dua pihak sebelum notis penamatan kontrak diberikan kepada pelakon itu.
A.Aida ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata beliau bersyukur dengan keputusan hari ini yang memihak kepadanya selain berharap dapat memberi pengajaran kepada artis lain supaya tidak memandang remeh berhubung kontrak ditandatangani.
“Sepanjang saya menjadi produser, ini pertama kali artis menarik diri di saat akhir. Esok penggambaran, malam tarik diri. Saya memfailkan saman kerana tindakan seperti itu tidak boleh diterima. Saya harap ia beri pengajaran kepada artis lain, apabila sudah tandatangan kontrak, sila jalankan kewajipan kita,” katanya.
Peguam Ashmadi Othman yang mewakili A. Aida berkata beliau berharap Amelia dapat melunaskan bayaran itu secara sekali gus dan bergantung kepada anak guamnya sama ada mahu memberi kelonggaran kepada defendan atau sebaliknya.
Sementara itu, peguam Wan Nurliyana Abdul Rahman, yang mewakili Amelia berkata anak guamnya akan memfailkan rayuan berhubung keputusan hari ini dalam masa terdekat. – TVS