KUCHING, 6 April: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib menyerahkan sumbangan Aidilfitri kepada seramai 71 orang anak yatim, pada Rabu.
Inisiatif Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) itu diserahkan kepada dua penghuni rumah kebajikan pada Majlis Berbuka Puasa, Solat Maghrib, Isyak dan Tarawih SEDC Sarawak yang diadakan di Hotel Grand Margherita (HGM) di sini.
Dua buah rumah kebajikan yang menerima sumbangan tersebut ialah Rumah Kanak-Kanak Toh Puan Hajah Norkiah di Kuching dan Rumah Kanak-Kanak Datuk Ajibah Abol di Sri Aman.
Penganjuran majlis tersebut merupakan antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) SEDC Sarawak yang giat menyantuni golongan yang kurang bernasib baik termasuk anak-anak yang berteduh di rumah kebajikan tersebut.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala, Pengerusi SEDC Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Dr Abdul Aziz Dato Husain dan Pengurus Besar SEDC Sarawak, Datu Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir. – TVS