BUTTERWORTH, 6 April: Sepasang kekasih memberi alasan sedang menonton video YouTube sebelum ditahan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) yang melakukan pemeriksaan di Pantai Bagan dekat Kawasan Rehat Bagan Ajam di sini malam tadi.
Lelaki berusia 24 tahun dan wanita berusia 21 tahun itu antara lima pasangan kekasih yang ditahan kerana didapati berdua-duaan dan berpelukan dalam gelap menerusi operasi kira-kira 12 tengah malam.
Menurut Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAIPP, Mohd. Azizon Noordin, kesemua pasangan yang ditahan didapati duduk berdua-duaan terlalu rapat tanpa sebarang ikatan perkahwinan sah, malah ada yang berpelukan.
“Kita buat operasi ini bukan saja pada bulan Ramadan, tetapi berterusan bagi membendung gejala tidak sihat terutama membabitkan golongan muda.
“Ini adalah langkah pencegahan yang diambil JHEAIPP untuk mengelak perkara itu tidak berulang lagi pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita hari ini.
Ujarnya, kesemua pasangan berkenaan telah diberi notis Seksyen 29 Enakmen Kesalah Jenayah Syariah (Negeri Pulau Pinang) 1996 kerana melakukan perbuatan tidak sopan di tempat awam. – TVS