KOTA KINABALU, 6 April: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak akan mengenakan penalti terhadap individu yang membuat pengakuan cukai masing-masing menerusi Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) bermula 1 Jun 2023 hinga 31 Mei tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Hasil Datuk Dr Mohd Nizom Sairi berkata inisiatif tersebut merupakan usaha kerajaan membantu individu yang ingin membuat pengakuan cukai.
“Tiada penalti, yang sudah berlalu itu tidak apa, hanya lapor saja berdasarkan apa yang diketahui dan Hasil terima secara baik dan tidak akan buka lagi tahun-tahun berkenaan untuk diaudit,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis berbuka puasa LHDN dan Apresiasi Media Sabah 2023 di sini, pada Rabu.
“LHDN akan berikan panduan apa yang patut dibuat supaya tidak lagi berlaku kekurangan atau tidak lapor bila ke hadapan,” katanya.
Sementara itu, beliau turut berkata LHDN menganggarkan lebih kurang 50,000 pembayar cukai baharu dan sedia ada tampil untuk membuat pengakuan cukai secara sukarela menerusi program berkenaan.
“Berdasarkan data yang kami ada, kita menganggarkan bilangan yang akan tampil membuat pengakuan sukarela ini untuk melaporkan yang terkurang atau tertinggal sebelum ini, kita anggarkan sekitar 50,000 dan hasil itu kita tak fokus sangat tetapi kita buat anggaran secara realistik iaitu RM1 bilion.
Dalam Pada itu, TVS turut menerima penghargaan daripada LHDN atas kerjasama yang diberikan sebelum ini termasuklah liputan lawatan rasmi mereka bersama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang johari Tun Openg. – TVS