KUCHING, 6 April: Umpama sudah hampir masuk ke dalam mulut, namun tidak sempat dijamah.
Itulah hakikat yang terpaksa ditanggung oleh Kuching City FC dalam perlawanan ketujuh Liga Super 2023 di Stadium Negeri Sarawak, Petrajaya malam tadi.
Ketika sudah berkira – kira mahu menamatkan rekod tanpa kemenangan selama 38 hari, 10 saat terakhir menjadi pemisah apabila tandukan Muhammad Asraff Alifuddin Yasin memberi gol penyamaan kepada Kelantan United FC.
Baca artikel berkaitan di sini >>> 10 saat pisahkan Kuching City dengan tiga mata penuh
Terdahulu, Kuching City FC dihadiahkan penalti dan berjaya disempurnakan oleh pemain import, Sirojiddin Kuziev pada minit ke-48
Pembantu Ketua Jurulatih Kuching City FC, Sulaiman Hussin berkata, meskipun gagal mengutip tiga mata penuh seperti yang diidamkan, mereka berjaya keluar dari ‘gua kekalahan’.
“Satu mata ini sebagai moral kepada pasukan untuk kami mengharungi perlawanan seterusnya bertemu Terengganu FC di tempat lawan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Sementara itu, Sulaiman mendedahkan, perubahan yang dilakukan pada perlawanan itu semalam mula membuahkan hasil.
“Sebenarnya kami tidak menggunakan penyerang sebaliknya hanya meletakkan lima pemain tengah.
“Oleh itu, setiap pemain dalam pasukan ini perlu bersedia termasuklah Kamara (Abu), mereka boleh dipanggil untuk bermain pada bila – bila masa,” katanya.
Selepas tujuh perlawanan, Kuching City FC menghuni tangga kedua belas dengan empat mata, hasil satu kemenangan, satu seri dan lima kekalahan. -TVS