MIRI, 6 April: First Cafe Senadin di bandar raya ini menarik perhatian apabila memasang sepanduk untuk mempromosikan mi kolok percuma.
Pengusahanya, Chua Li Chen berkata, idea itu timbul selepas dia menyedari terdapat pelanggan yang tidak mampu membayar selepas menikmati hidangan berkenaan di kafenya.
Li Chen berkata, makanan percuma itu ditawarkan sejak minggu lepas.
“Hidangan percuma ini dinamakan sebagai Mi Kolok See You Again atau Mau 1 Mi Jumpa Lagi seperti yang ditulis pada sepanduk dalam bahasa Mandarin dan Bahasa Melayu.
“Mereka yang tidak ada duit untuk makan, dijemput ke kedai saya dan cakap sahaja perkataan seperti di poster, tidak perlu malu,” katanya kepada TVS.
Sebelum ini Li Chen berkata, dia dan suaminya, Kiew Kong Yen menggunakan kertas poster biasa untuk memaklumkan kepada orang ramai namun kurang berkesan.
“Oleh itu kami tukar kepada sepanduk dengan saiz yang lebih besar supaya lebih ramai penduduk setempat menyedari mi kolok percuma yang ditawarkan,” katanya.
Ditanya mengenai harga jualan mi kolok dikedainya, wanita itu memberitahu, mereka menjual pada harga RM4.50 semangkuk.
“Namun ada yang tidak mampu bayar malah ada yang bertanya sama ada boleh menikmati mi kolok secara percuma kerana mereka orang susah,” katanya.
Tambah Li Chen, sejak menawarkan mi kolok percuma, dia menerima maklum balas yang menggalakkan daripada masyarakat setempat dengan ramai yang datang pada waktu petang.
Pada masa sama, dia turut berharap yang kedai makan lain juga dapat melakukan perkara yang sama memandangkan dia dan suaminya hanya dapat membantu penduduk di sekitar Senadin sahaja. -TVS