Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Muhammad Aiman terpaksa akur apabila impiannya untuk bersaing pada Sukan SEA untuk kali ketiga berturut- turut tidak kesampaian. Foto Muhammad Aiman Hamdan.

Juara SUKMA dari Sarawak ‘tercicir’ wakili Malaysia ke Sukan SEA

ByFirdaus Ismail

KUCHING,6 April: Kejayaan muncul juara Sukan Malaysia (SUKMA) pada tahun lepas, seolah – olah tidak memberi sebarang kelebihan kepada pemain tenis berasal dari Sarawak, Muhammad Aiman Hamdan.

Ini kerana pemain berusia 22 tahun itu terpaksa akur apabila dia tidak disenaraikan untuk membarisi pasukan negara pada Sukan SEA Kemboja yang akan berlangsung bulan depan.

Baca artikel berkaitan >>> Selepas sumbang emas untuk Sarawak, Aiman sasar juarai Sukan SEA 2023

Mengakui kecewa pada awalnya, pelajar Diploma Sains Sukan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu berkata, dia tidak boleh terlalu lama ‘patah semangat’ sebaliknya perlu meneruskan latihan seperti biasa pada Ramadan ini.

“Fasa kecewa itu sudah berlalu.

“Saya perlu terus fokus kerana selepas Hari Raya Aidilfitri ini, saya akan sertai beberapa pertandingan.

“Ketika ini saya mahu membuktikan yang masih boleh beraksi dengan baik, setanding dengan pemain yang akan membawa cabaran Malaysia pada Sukan SEA,” katanya kepada TVS hari ini.

Ditanya mengenai punca ‘tercicir’ menyarung jersi kebangsaan, Muhammad Aiman berkata, dia tidak tahu secara mendalam memandangkan keputusan dibuat oleh jurulatih dan persatuan.

Persatuan Tenis Malaysia (Tennis Malaysia) pada minggu lalu mengumumkan Mitsuki Leong, Koay Hao Sheng, Imran Daniel Abd Hazli, S. Darrshan dan Christian Andre akan mewakili Malaysia pada temasya dwitahunan itu.

Turut disenaraikan tiga pemain wanita.

Sementara itu Aiman turut memberitahu, dia juga tidak akan mempertahankan pingat emas pada SUKMA di Sarawak tahun depan.

“Ini kerana saya sudah melepasi had umur yang dibenarkan bertanding,” katanya.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Rahman itu sebelum ini mewakili Malaysia pada Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina.

Pada temasya sama di Hanoi, Vietnam tahun lepas, Muhammad Aiman berjaya membawa pulang pingat gangsa dalam acara berpasukan.

Edisi SUKMA di Kuala Lumpur tahun lepas, dia sekali lagi membuktikan sentuhan berbisanya di gelanggang tenis apabila menang pingat emas acara beregu lelaki selain turut meraih perak acara beregu campuran. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan