KUCHING, 5 Apr: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Datuk Mohd Nizom Sairi, hari ini.
Kunjungan sulung itu bertujuan untuk berkongsi mengenai operasi LHDN serta hasil daripada kutipan cukai langsung yang diperoleh daripada Sarawak kepada Abang Johari.
Pada masa yang sama, Mohd Nizom juga memberitahu bahawa Ahli Lembaga LHDN kini diwakili oleh seorang anak jati Sarawak.
“Dalam LHDN sekarang sudah ada wakil daripada Kerajaan Sarawak iaitu Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar.”
“Oleh itu maklumat berkala akan dimaklumkan kepada kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.
Menurutnya pertemuan itu juga bertujuan untuk mengeratkan kerjasama baik antara LHDN dengan Kerajaan Sarawak.
Terdahulu, Lizozman dilantik secara rasmi sebagai wakil kerajaan Sarawak dalam keanggotaan LHDN pada 20 Januari lepas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelantikan itu diputuskan selepas meneliti dan mengambil kira permohonan Kerajaan Sarawak berhubung perkara berkenaan. -TVS