SIBU, 5 April: Seorang lelaki tempatan di sini seolah – olah ‘tidak makan saman’ apabila ditahan oleh polis buat kali ketujuh atas kesalahan berkaitan dadah.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkaya, suspek berusia 27 tahun itu ditahan sepasukan anggotanya menerusi Op Tapis di Jalan Medang pada pukul 2.30 petang semalam.
Kata beliau, pemeriksaan lanjut terhadap lelaki itu menemukan satu paket plastik lutsinar mengandungi ketulan – ketulan kristal kecil disyaki dadah jenis Methamphetamine.
“Kesemua dadah yang diisi dalam paket plastik warna putih bertulis LA White itu seberat 52.55 gram dengan anggaran nilai RM5,255,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Katanya, suspek dibawa ke Balai Polis Sungai Merah untuk tindakan lanjut.
“Semakan mendapati suspek mempunyai enam kes lampau berkaitan dadah manakala ujian saringan air kencing mengesahkan dia positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine,” katanya.
Zulkipli memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 39b dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. -TVS