MUKAH, 5 April: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengingatkan komuniti maritim agar sentiasa peka dengan keadaan cuaca sebelum melaksanakan sebarang aktiviti di laut.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Gilbert Tinggak Numpang berkata, keadaan cuaca yang tidak menentu di seluruh negara khususnya Sarawak boleh mendatangkan insiden tidak diingini sekiranya lalai dengan tahap keselamatan diri.
Keadaan cuaca buruk katanya akan mendatangkan risiko dan bahaya kepada bot-bot kecil.
“Sebelum merancang untuk melaksanakan aktiviti di laut, pastikan keadaan cuaca dahulu. Sekiranya cuaca tidak mengizinkan, diharap mereka (komuniti maritim) cuba berhenti atau tidak meneruskan hasrat,” katanya pada sidang media operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) Maritim di Tanjung Manis di sini, hari ini.
Pada masa sama, komuniti maritim juga disarankan sentiasa membawa peralatan komunikasi bagi memudahkan perhubungan sekiranya berlaku kecemasan ketika berada di laut.
Langkah itu tegasnya bertujuan untuk membendung kejadian tidak diingini di samping persiapan kepada bantuan kecemasan awal selain mengelak insiden kehilangan nyawa dan harta benda.
“Kalau boleh, anda perlulah membawa peralatan komunikasi bersama. Pada masa yang sama, sekiranya ada PLB (Personal Locator Beacon) kita boleh aktifkan apabila ada kecemasan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, nelayan juga dinasihatkan agar mendapatkan maklumat keadaan cuaca dan laut daripada Jabatan Meteorologi Malaysia atau agensi yang berkaitan. – TVS