KUCHING, 5 April: Kawasan di sekitar Jalan Merdeka, Sibu terjejas susulan kejadian pokok tumbang disebabkan oleh hujan lebat dan angin kencang yang berlaku lewat petang tadi.
Menurut Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pihaknya menerima laporan terdapat 15 pokok tumbang di situ yang menghalang lalu-lintas.
“Ketika ini kerja-kerja pembersihan dan mengalihkan pokok tumbang sedang dijalankan oleh anggota APM serta turut dibantu oleh orang awam,” jelas APM menerusi kenyataan media.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut mengeluarkan amaran ribut petir di beberapa kawasan di Sarawak termasuk Kuching, Serian, Samarahan, Sibu, Mukah, Kapit dan Bintulu.
“Ribut petir dijangka melanda kawasan berkenaan sehingga pukul 1 pagi Khamis,” jelas MetMalaysia.
Orang ramai di Sibu yang memerlukan bantuan, boleh menghubungi talian kecemasan APM Sibu 999 atau hotline APM Sibu 084-220044. -TVS