KUCHING, 5 April: Industri perkayuan Sarawak merekodkan pertumbuhan memberangsangkan pada suku pertama dengan perolehan eksport berjumlah RM1 bilion.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, peningkatan itu merupakan petunjuk bahawa industri berkenaan mula pulih kerana terjejas susulan penularan COVID-19.
Katanya, pemulihan industri itu selari dengan dasar Pelan Strategi Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dengan menggalakkan pemain industri itu untuk menerokai produk perkayuan bernilai tinggi dan penggunaan teknologi terkini.
“Kita menggalakan pemain industri perkayuan untuk menfokuskan kepada penghasilan produk perkayuan bernilai tinggi seperti penghasilan perabot dan kayu asli.
“Dalam masa sama mereka (pemain industri) digalakan untuk mengubah cara mereka beroperasi dengan mempertingkatkan penggunaan teknologi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan oleh Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) di sini, malam tadi.
Beliau berkata, jumlah penghasilan produk perkayuan daripada hutan asli di Sarawak sudah menurun berbanding sebelum ini kerana menumpukan penghasilan produk-produk daripada sumber perladangan atau penanaman semula hutan.
Ia susulan Sarawak sudah menguatkuasakan dasar mandatori bagi pemegang lesen pembalakan untuk melaksanakan persijilan hutan sekali gus membantu dalam mengurangkan kemusnahan hutan asli.
“Ini adalah selari dengan apa yang kita laksanakan, kita pertingkatkan untuk memperkasakan pengurusan hutan yang mampan,” katanya.
Menurut Awang Tengah, pada 2022, industri perkayuan Sarawak mencatatkan perolehan eksport sebanyak RM3.4 bilion ringgit.
Katanya, pasaran utama bagi produk perkayuan Sarawak adalah termasuk Jepun, Korea dan India serta beberapa negara ASEAN, Eropah, Amerika Syarikat dan Australia.
“Eksport utama produk perkayuan kita adalah papan lapis dan vinyl. Kita menggalakkan eksport kepada produk-produk yang mempunyai nilai tinggi dan perabot merupakan satu daripada produk yang kita lebih berikan tumpuan,” katanya. – TVS