SIBU, 4 April: Seramai 20 orang anak-anak dari Kompleks Kebajikan Juma’ani Tuanku Haji Bujang, Sibu diraikan pada majlis berbuka puasa oleh sebuah restoran tempatan di sini, pada Isnin.
Acara tahunan pihak restoran berkenaan, menurut pengusahanya Gunalan Subramanian, ia diadakan bagi berkongsi kegembiraan berbuka puasa bersama anak-anak Peryatim.
“Majlis ini juga bertujuan untuk mengimarahkan bulan Ramadan dan amalan ini kami dianjurkan setiap tahun,” katanya kepada TVS.
Pada majlis yang sama, beliau turut mengagihkan duit raya kepada anak-anak berkenaan.
“Kita berharap agar majlis (berbuka puasa) ini dapat memberi keceriaan kepada anak-anak Peryatim agar dapat menempuhi bulan ramadan yang mulia ini,” ujarnya.
Menurut Gunalan, amalan bersedekah tersebut juga diadakan sebagai tanda kasih sayang selain berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan.
Katanya, pelbagai hidangan disajikan termasuk menu popular restoran Sri Pelita iaitu Nasi Bryanni Ayam dan Bryanni Daging serta pelbagai juadah yang enak.
Rombongan anak-anak peryatim tersebut diiringi oleh Pengurus Kompleks Kebajikan Juma’ani Tuanku Haji Bujang, Sibu, Najilanisa Suhaili. – TVS