KUCHING, 3 April: Sarawak sentiasa bersedia dan berharap untuk menerima penerbangan secara terus dari Pontianak, Indonesia ke bandaraya Kuching.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Sarawak tidak mempunyai sebarang masalah untuk menerima pengunjung dari Kalimantan Barat itu, tetapi isu tersebut terletak kepada dasar Indonesia.
“Kita memang mengharap agar pesawat dapat terbang dari Pontianak ke bandaraya Kuching. Sekarang masalah itu bukan masalah dari Sarawak. Kita memang bersedia untuk menerima, tetapi ini adalah lebih kepada dasar di Indonesia,” katanya sidang media sempena pelancaran Rainforest World Music Festival 2023, yang dijangka akan membuka tirai mulai 23 hingga 25 Jun hari ini.
Beliau memberitahu Sarawak sudahpun memaklumkan hasrat tersebut kepada Kerajaan Indonesia untuk menerima pelancong dari Pontianak, mahupun mereka yang datang untuk mendapatkan rawatan di sini.
“Jadi kita menunggu. Kita pun sentiasa memberi maklum kepada Konsul Jeneral di sini dan juga kerajaan Indonesia kalau dapat dibukakan ruang tersebut supaya mudah untuk dari Kuching ke Pontianak, Pontianak ke Kuching, untuk mereka yang datang sebagai pelancong ataupun mereka yang datang untuk mendapat perkhidmatan perubatan,” ujarnya.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yiew, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datu Sherrina Hussaini, Pengerusi Sarawak Tourism Board (STB) Dennis Ngau serta Ketua Pegawai Eksekutif STB, Sharzede Datu Salleh Askor. – TVS