Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Antara Pegawai Penguatkuasa Pejabat Kesihatan yang menyertai Ops Bazar Ramadan di Sarikei. Foto: TVS

Tujuh peniaga di Bazar Ramadan Sarikei dikompaun

SARIKEI, 2 April: Tidak mengenakan pakaian pengendali makanan yang lengkap.Itu antara kesalahan peniaga Bazar Ramadan sehingga tujuh notis kompaun terpaksa dikeluarkan dalam operasi awal Ramadan, Pejabat Kesihatan Bahagian Sarikei.

Pegawai Kesihatan Bahagian Sarikei, Dr. Johny Kelak berkata, operasi disertai 20 anggota penguatkuasa terdiri daripada Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Pembantu Kesihatan Awam.

Katanya, kompaun yang tertakluk di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 itu keseluruhannya bernilai RM700.

“Kesalahan lain termasuklah memakai perhiasan diri dan gagal menghadiri latihan pengendali makanan. Tindakan tegas ini bertujuan memastikan semua peniaga di Bazar Ramadan mengamalkan aspek kebersihan dan keselamatan makanan.

“Selain itu, ia juga memastikan makanan yang disedia atau dijual selamat di samping mematuhi Akta Makanan 1983 dan juga peraturan-peraturan makanan di bawahnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr. Johny berkata, semua kompaun itu adalah hasil pemeriksaan ke atas sebanyak 93 buah gerai di tapak Bazar Ramadan Pasar Central Sarikei.

Dalam pada itu katanya, kompaun boleh dijelaskan di Pejabat Kesihatan Bahagian Sarikei atau mana-mana Pejabat Kesihatan di seluruh Malaysia.

“Sehubungan itu, saya menasihatkan masyarakat khususnya peniaga supaya mengamalkan konsep amalan 3M iaitu mengamal, memilih dan melaksana pelbagai aspek berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan.

“Pada masa yang sama, mereka juga harus memastikan pilihan gerai yang bersih dan mengamalkan pengendalian yang baik dan betul,” katanya.

Turut hadir Pegawai Kesihatan Persekitaran Pejabat Kesihatan Bahagian Sarikei, Abdul Taib Mohamad Shariee. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan