KUCHING, 2 April: Pembinaan surau dan masjid di kawasan komuniti Islam seperti di kawasan kampung dan taman perumahan adalah asas keperluan masyarakat Islam, kata Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Justeru katanya, sewaktu menjadi Ahli Parlimen Santubong beliau telah melahirkan hasrat supaya setiap kawasan taman perumahan di bawah Parlimen beliau mempunyai sekurang-kurangnya sebuah surau.
Katanya, sewaktu menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut, lebih 60 buah surau telah didirikan namun pembinaan Surau Al-Falah mengalami sedikit kesukaran sejak idea menggantikan surau usang sebelumnya dicadangkan oleh kariah surau Taman Mesra Bako.
“Selepas Kerajaan Pakatan Harapan terdahulu menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14, semua dana dari Kerajaan Persekutuan bagi pembinaan termasuk rumah ibadat di Sarawak dihentikan.
“Saya kemudian telah berjumpa dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan beliau tanpa berfikir panjang meluluskan peruntukan untuk pembinaan surau terbabit tetapi kemudiannya Pandemik Covid pula melanda,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Surau Al-Falah di Taman Mesra Bako petang tadi.
Katanya, selain isu dana dan pandemik, beberapa prosedur lain turut melambatkan usaha pembangunan surau tersebut termasuk mendapatkan tanah sedia ada sebagai tanah wakaf serta penukaran hak milik tanah selain kerjasama dari agensi lain yang akan membangunkan surau baharu itu.
“Adalah satu kerugian kepada penduduk Taman Mesra Bako yang mempunyai kedudukan taman perumahan yang teratur tetapi tidak mempunyai sebuah surau yang sempurna,” ujarnya.
Pada majlis itu Junaidi turut menyerahkan cek bernilai lebih RM26,000 hasil simpanan arwah isterinya terdahulu Datin Seri Norjanah Feona Sim Abdullah sebagai wakaf kepada surau terbabit bagi pembangunan sebuah stor untuk kegunaan surau serta penyambungan elektrik ke stor terbabit.
Antara yang hadir di majlis petang tadi, isteri dan anak beliau iaitu Datin Seri Fauziah Mohd Sanusi dan Sharifah Fariah Syed Junaidi serta Pegawai Tugas Khas di Pejabat Premier Sarawak Helmi Hazmi. -TVS