KUCHING, 2 April: Sarawak yang terdiri daripada masyarakat berbilang budaya, etnik dan agama, menghargai keamanan, keharmonian dan perpaduan rakyatnya yang merupakan asas kemakmuran masa depan, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau berkata, dengan mengiktiraf kesatuan sebagai kemanusiaan dan berusaha ke arah itu boleh membawa masyarakat untuk lebih memahami antara satu sama lain dan menangkis sebarang halangan yang wujud bukan sahaja melibatkan perbezaan agama, malah juga melangkaui halangan sosial dan etnik.
“Atas sebab ini, kita mesti menganggap setiap perayaan masyarakat berbilang agama di Sarawak sebagai satu kesempatan untuk mengukuhkan budaya kita dan pada masa yang sama untuk mempelajari dan meraikan budaya orang lain.
“Marilah kita terus berinteraksi sesama kita tanpa mengira kepelbagaian bangsa dan kepercayaan agama kita,” katanya pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Komuniti Baha’i di sebuah hotel di sini, malam ini.
Teks ucapan beliau dibaca Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian yang mewakilinya di majlis itu.
Yang turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Buckland Bangik dan Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), Datu Jack Aman Luat.
Mengulas mengenai majlis berkenaan, Uggah berkata, sejarah kepercayaan Baha’i di Sarawak telah bermula pada tahun 1951 dan hari ini, kira-kira 50,000 komuniti Baha’i Sarawak yang tersebar dilebih 401 lokaliti di negeri ini mewakili penduduk pelbagai etnik, budaya dan sosio-ekonomi.
“Komuniti ini termasuk Iban, Cina, Bidayuh, Melanau, Kayan, Salakau, Penan dan India.
“Di Sarawak, masyarakat Baha’i meraikannya (sambutan tahun baharu) dengan rumah terbuka dan perhimpunan komuniti di rumah panjang atau di kampung dan juga di kawasan bandar, “ katanya.
Komuniti Baha’i meraikan sambutan perayaan berkenaan pada 21 Mac yang lepas selepas berpuasa selama 19 hari dari 2 hingga 20 Mac. -TVS