BUKIT MERTAJAM, 2 April: Seorang lelaki dipanggil polis selepas satu video memaparkan dirinya sedang memandu bas sambil menggunakan telefon bimbit tular di media sosial semalam.
Video berdurasi 21 saat itu memaparkan seorang pemandu bas sedang menggunakan telefon bimbit semasa memandu dari Pulau Pinang ke Ipoh, Perak dipercayai dirakam oleh salah seorang penumpang.
Tindakan tersebut dilihat boleh mendatangkan risiko kemalangan jalan raya serta membahayakan nyawa penumpang bas dan pengguna jalan raya lain.
Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain, pihaknya telah melakukan siasatan ke atas pemandu berkenaan selepas identitinya berjaya dikesan.
Ujar beliau, lelaki tersebut telah hadir ke Pejabat Bahagian Siastan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di sini selepas video kejadian itu tular di media sosial sejak semalam.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku di Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan pada 28 Mac lalu dan ujian air kencing mendapati dia bebas daripada penyalahgunaan dadah.
“Tindakan diambil mengikut Rule 17A LN166/59 kerana memandu dengan menggunakan telefon bimbit tanpa alat bebas tangan yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Mohd. Shuhaily berkata, pihak polis memberi peringatan kepada pengguna jalan raya agar sentiasa mengamalkan sikap bertanggungjawab dan berhati-hati semasa mengendalikan kenderaan di atas jalan raya. -TVS