KUCHING, 2 April: Dikatakan tidak sama seperti kopi biasa, rasa aroma dan keunikan kopi beras dari Ba’kelalan telah mendapat pelbagai reaksi pelbagai lapisan masyarakat di sekitar bandaraya Kuching.
Turut tidak melepas peluang menikmati secawan kopi beras dari Ba’kelalan ini adalah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yang menyifatkan ia mempunyai rasa unik dan mempunyai auranya tersendiri.
Baca artikel berkaitan >>>>> Kopi beras: Kekayaan aroma kopi asli dari Borneo
“Sebagai seorang penggemar kopi, ia memang tak rasa macam kopi lain yang biasa saya rasa. Ia mempunyai rasa nasi panggang tetapi dicampur dengan kopi,” jelas beliau ketika ditemui TVS di Kuching.
Beliau yang pertama kali merasai keenakan kopi beras turut berkata, kopi beras dilihat berpotensi untuk dibangunkan serta dipasarkan secara meluas sebagai salah satu produk keluaran Sarawak.
“Saya percaya untuk membawa apa-apa produk anda perlu melakukan pemasaran yang agresif dan jika kita boleh memasarkannya dengan cara kita memasarkan mee kolok, laksa sarawak, dan juga kek lapis,” kata beliau lagi.
Dalam pada itu, TVS turut mengambil kesempatan untuk melihat reaksi orang awam mengenai kopi unik Ba’kelalan itu.
Sin Chih Hoong, 50 dan Stuart Campbell, 57 pelancong dari United Kingdom Eropah mengatakan kopi beras berpotensi untuk mendapat sambutan jika dipasarkan di Jepun.
“Ia mempunyai rasa manis yang samar-samar dan tidak terlalu manis. Saya fikir ia akan diterima dengan baik di Jepun. Anda harus menyasarkan Jepun.
“Jepun, kebanyakannya akan melibatkan nasi, teh dan minuman. Jadi, ini pasti tidak asing bagi mereka,” katanya.
Sementara itu bagi seorang barista di salah sebuah café di Kuching mengatakan kopi beras boleh dinikmati bukan sahaja oleh penggemar kopi, tetapi juga bagi mereka yang kurang menyukainya.
“Kopi beras mempunyai rasa yang ringan dan tidak begitu pahit kalau dibandingkan dengan kopi Robusta Single Origin dari Sumatera yang kami selalu guna (di kedai). Selalunya penggemar kopi akan suka kepahitan kopi Robusta itu dan bagi mereka yang bukan penggemar kopi, saya mengesyorkan kopi beras ini,” ujarnya.
Bagi Umum Aqilah pula, kopi itu mengingatkannya kepada keretop gula apong, yang merupakan sejenis snek tempatan yang diperbuat daripada beras.
“Kalau anda pernah makan keretop yang selalu kita letak dalam kopi dan minum, rasanya sebijik. Walaupun tiada kopi di dalamnya, dan ia hanya dibuat daripada beras, ia mempunyai rasa kopi,” kata Umum.
Kopi beras merupakan minuman unik yang dihasilkan di utara Sarawak, Ba’kelalan.
Menggunakan beras wangi yang ditanam oleh orang tempatan, kopi beras kekal menjadi minuman pilihan penduduknya sejak zaman dahulu. – TVS