Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Hati buyah ialah paru-paru kerbau yang digoreng berempah sebelum disalai atau dibakar. Foto: TVS

Hati buyah, air ‘I Miss You’ dan air botol laminate, laris di Bazar Ramadan Limbang

LIMBANG, 2 April: Bazar Ramadan satu lagi tarikan utama pengunjung tanpa mengira agama setiap kali tiba bulan Ramadan di Daerah Limbang.

Lot 777 yang kebiasaannya menjadi kawasan parkir kereta bertukar meriah kerana menjadi ‘syurga’ juadah berbuka puasa dan lubuk rezeki para peniaga di Limbang.

Maizura (kanan) menunjukkan hati buyah dan menu salaian di gerainya. Foto: TVS

Bagi peniaga khususnya makanan bersalai, juadah wajib yang dijual adalah paru goreng berempah atau lebih dikenali penduduk di utara Sarawak sebagai hati buyah.

Hasil tinjauan TVS hari ini mendapati kebanyakan peniaga di khemah bersalai enggan melepaskan peluang untuk menjual hati buyah iaitu paru-paru kerbau yang digoreng berempah sebelum disalai atau dibakar kerana mendapat sambutan luar biasa daripada pengunjung setiap hari.

‘Penangan’ hati buyah di Bazar Ramadan bukan saja menjadi pilihan utama pengunjung di daerah berkenaan malah, pengunjung dari Brunei Darussalam turut menjadikan hati buyah sebagai juadah wajib dibeli untuk berbuka puasa sebelum pulang ke negara mereka.

Hati buyah laris. Foto: TVS

Seorang peniaga hati buyah Maizura Musli, 25, dari Kampung Anak Bukit berkata, walaupun Bazar Ramadan dipenuhi dengan seribu satu jenis hidangan, tetapi hati buyah sentiasa menjadi pilihan utama pengunjung yang datang.

“Di sini kami ada menjual menu salai atau panggang yang paling terkenal di sini hati buyah iaitu paru kerbau yang digoreng dengan kicap dan rempah.

“Pelanggan kami di sini kebanyakannya berasal dari Brunei, mereka datang setiap hujung minggu dan paling ramai waktu hari Jumaat, selain hati buyah, kami ada menjual isi ayam, fish ball, fish cake, ayam golek, ikan salai ataupun ikan bakar, selain menyediakan sambal kicap pedas,” katanya kepada TVS hari ini.

Katanya, cara penyediaan hati buyah tidak begitu rumit dan perlu diperap dengan rempah ratus sebelum digoreng dan dibakar di gerainya .

Ching melayan pelanggan setia air botol laminate. Foto: TVS

Hati buyah yang dijual dengan harga seringgit secucuk, menjadikan menu itu amat popular bukan saja kerana harganya yang murah tetap keenakannya yang menawan hati pelanggan tempatan dan negara jiran.


Bagi penaiga air balang pula, Amirol Azizi Wahab, 29, Ramadan memberikan limpahan rezeki apabila hasil jualan laris terutama ‘penangan’ air ‘I Miss You’ yang hanya dijual pada bulan Ramadan setiap tahun.

Beliau atau dikenali sebagai Abim berkata, air yang diberi nama ‘I Miss You’ hasil tangan gerai air balang Dapur Darwisy itu pastinya dirindui pengunjung dan hanya boleh didapati di gerainya di Bazar Ramadan selain cepat habis diborong pengunjung berbanding air lain.

Beliau mengekalkan pelbagai perisa segar seperti koktel, buah naga dan gabungan buah-buah segar lain menjadikan rasanya sukar dilupakan pelanggan setianya.

“Apa yang menariknya kami punya jualan adalah air ‘I Miss You’ yang namanya sangat sinonim untuk kita mendapatkan senyuman.

“Kami sudah mula air balang terutama air ‘I Miss You’ sejak 2017 lagi dan kami membuat air ini hanya pada bulan Ramadan sahaja dan mungkin itulah yang membuatkan pembeli-pembeli merindui air ini kerana kami hanya membuatnya pada bulan Ramadan setiap tahun,” katanya lagi.

Selain air ‘I Miss You’, beliau turut menjual pelbagai air perisa lain termasuk air trio, jambu batu, strawberi, milo, teh cincau dan air ABC, di Lot 1 di Bazar Ramadan Limbang.

Sementara itu, Bazar Ramadan Limbang turut mempunyai keunikan tersendiri apabila disertai seorang peniaga berbangsa Cina Ching Yu Sieng, 53, yang berjual air botol laminate sejak enam tahun lalu.

Beliau tidak berasa janggal malah, berasa seronok kerana dikelilingi peniaga-peniaga Melayu yang mesra dan baik hati.

Malah, katanya air laminate pelbagai perisa itu bukan saja mampu mengembalikan nostalgia suasana hari raya pada era 60-an sehingga 80-an tetapi mengekalkan kenangan manis beraya bersama air botol laminate.

“Saya seronok sebab banyak orang melayu berniaga di sini, jualan air botol laminate yang paling bagus,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan