KUCHING, 2 April: Bekas Pengarah Imigresen Sarawak Datu Robert Lian Saging @ Balangalibun meninggal dunia hari ini.
Berita mengenai kematian mendiang yang berumur 67 tahun, dipaparkan di Facebooknya.
Catatan di Facebook mendiang juga menyatakan orang ramai yang ingin memberi penghormatan terakhir boleh berbuat demikian pada 3 dan 4 April ini di 223, Lorong Stapok Selatan 2A di sini bermula 12 tengah hari hingga 8 malam.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang menerusi catatan di Facebooknya.
“Saya kehilangan seorang sahabat, manakala Sarawak dan negara kehilangan seorang bekas penjawat awam yang dihormati serta disegani.
“Kali terakhir saya bersama beliau dalam satu program ialah ketika Sambutan Hari Warga Emas di SK Rakyat Haji Bolhassan, Kuching, pada 22 Oktober tahun lalu (2022),” katanya. – TVS