LIMBANG, 1 Apr: Kerajaan Sarawak terus giat menekankan pembangunan institusi Islam menerusi peranan masjid dan surau yang mampu memperkukuhkan ukhwah dalam kalangan umat Islam di negeri ini.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail berkata hasrat itu melalui tanggungjawab menyediakan sejumlah peruntukan untuk tujuan pembangunan masjid dan surau.
Tabung Baitulmal Sarawak Cawangan Limbang katanya turut menyalurkan sejumlah RM10,650 di bawah peruntukan Program Membangunkan Institusi Islam (PMII) untuk Surau Darul Jannah, Kampung Tedungan yang terletak di kawasan sempadan daerah ini.
“Selain menjadi pusat ibadah, masjid dan surau berperanan sebagai pusat pendidikan dan pengembangan syiar Islam di negeri ini seterusnya menyemai nilai murni Islam,” katanya pada Program Badudun Ramadan Bersama Pemimpin di Surau Darul Jannah, Kampung Tedungan pada Jumaat.
Program anjuran Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Daerah Limbang (JTPIL) itu telah diadakan sejak 2006 dan diteruskan setiap tahun dalam mengimarahkan bulan Ramadan Al Mubarak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu turut mengumumkan peruntukan RM5,000 untuk membeli kelengkapan surau dan juga meluluskan permohonan peruntukan untuk membaik pulih bumbung di hadapan surau berkenaan.
Hadir sama Pegawai Agama Islam Bahagian Limbang merangkap Timbalan Pengerusi JTPIL Ustaz Awang Abdul Rahim Awang Rosely dan ketua masyarakat Islam lain. -TVS