KUCHING, 1 April: Pelakon wanita dan usahawan, Nur Fazura Sharifuddin sedang menapak untuk bergelar sebagai pengarah filem setelah menubuhkan syarikat produksinya sendiri, Fazura Pictures.
Menurutnya, beliau mahu menghasilkan karya-karya seni yang membawa mesej bermanfaat serta mampu memberi impak positif kepada masyarakat.
“Menjadi seorang pengarah filem adalah antara ‘bucket list’ saya.
“Sekarang saya jarang berlakon sebab watak dan jalan cerita yang ditawarkan tidak menepati cita rasa. Saya mahu terbit karya yang dapat sampaikan mesej baik dan watak yang berguna untuk tontonan mereka di luar sana,” katanya.
Baca artikel berkaitan > > > Fazura beri bayangan buka cawangan FAZURA di Kuching
Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS pada pelancaran kolaborasi AEON Mall dan Fazura bersempena Raya Paling Gempak di AEON Mall Kuching Central pada Sabtu.
Fazura Pictures telah menerbitkan dua filem pendek iaitu Adinda dan Kakak Kita ke Jakarta bersempena dengan perayaan Hari Raya Aidilfitri akan datang.
Dalam pada itu, mengulas mengenai kemungkinan menerbitkan rancangan realitinya iaitu Facing Up to Fazura, idea itu akan dipertimbangkan sekiranya terdapat permintaan daripada peminatnya.
“Banyak stesen yang menawarkan diri untuk terbitkan rancangan realiti ini dan saya juga sedang mempertimbangkannya. Kalau ada banyak permintaan, saya dengan senang hati akan buat,” katanya.
Facing Up to Fazura merupakan program realiti terbitan produksi terkenal luar negara, E! yang memaparkan perjalanan kehidupan seharian pelakon wanita itu. – TVS