Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pes laksa Sarawak dan lada hitam yang dijual di sebuah kedai di Jepun hasil program SMART Community. Foto USM.

USM komersialkan pes Laksa Sarawak di Jepun

GEORGE TOWN, 31 Mac: Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) membawa beberapa produk makanan popular dari Sarawak ke pasaran Tokyo dan Nagoya di Jepun menerusi program ‘Sustainable Marketing for Community’ (SMART Community).

Program itu merupakan inisiatif untuk membantu dan memperkasa komuniti luar bandar yang mengusahakan produk tempatan melalui pemindahan ilmu, teknologi, penyelidikan dan penambahbaikan secara inklusif.

Niqman Rafaee M. Sahar pada majlis menandatangani MoA antara USM dan Asia Bridge International di pejabat MATRADE di Tokyo, baru-baru ini. Foto USM.

Menurut Ketua Program SMART Community, Syed Yusof Syed Kechik, Sarawak memiliki pelbagai produk tempatan yang premium dan berpotensi besar untuk diketengahkan ke pasaran antarabangsa.

Katanya, produk makanan dari Sarawak seperti madu kelulut, lada, gula apong dan pes laksa Sarawak mempunyai nilai keaslian dan keunikan tersendiri.

“Kita memberi pelbagai galakan dan sokongan kepada pengusaha dari Sarawak untuk lebih proaktif dalam program-program mempromosikan produk tempatan mereka ke pasaran yang lebih luas,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Program berkenaan diberi mandat oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) untuk dijalankan oleh USM.

USM dan rakan kolaborasi yang berpangkalan di Jepun, Asia Bridge International (ABI) Co. Ltd. telah memeterai satu perjanjian persefahaman (MoA) di Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Tokyo baru-baru ini.

MoA berkenaan turut dimeterai bersama pusat sehenti atau One Stop Centre iaitu SPL Food Industries Sdn. Bhd., Bayu Gagah (M) Marketing Sdn. Bhd. dan Sophia Taha Holdings Sdn. Bhd.

Majlis itu disaksikan Pengarah MATRADE selaku Pesuruhjaya Perdagangan, Niqman Rafaee M. Sahar, Pengarah di Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Samsulkamar Mohamad Ali dan Ketua Program TERAJU Wilayah Sarawak, Zarifhadi Bujang.

Syed Yusof berkata lagi, kolaborasi strategik yang bermula pada 2020 di bawah Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera Sarawak adalah bertujuan memperkasakan ekonomi dan sosioekonomi komuniti bumiputera B40 di Sarawak.

“Usaha yang dijalankan USM ini akan memberi manfaat kepada lebih daripada 233 usahawan bumiputera yang berstatus B40 di Sarawak,” katanya.

Mengulas lanjut berhubung kerjasama strategik, Syed Yusof turut berkata, ABI telah dilantik sebagai rakan kolaboratif di Jepun bagi melancarkan lagi pemasaran produk berkenaan.

“Pemilihan rakan kolaboratif ini bersesuaian dengan konteks dan matlamat yang cuba dicapai dalam program SMART Community.

“ABI bukan sahaja mempunyai rangkaian kedai jualan secara fizikal di Nagoya dan Tokyo, malah turut menjalankan perniagaan secara atas talian melalui aplikasi pintar iaitu Halal2Go, Ichiba, Yahoo.Japan, Amazon.com, Mercari dan lain-lain,” ujarnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan