KUCHING, 31 Mac: Masyarakat Islam di sekitar kawasan Petra Jaya berpeluang merasai pengalaman berbuka secara percuma sehingga 27 Ramadan menerusi program ‘Sungkey At Jamek’ di sini.
Pegawai Bahagian Masjid Jamek Negeri Sarawak Awangku Muhammad Nizam berkata, program anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) itu akan memperuntukkan jamuan untuk 150 orang yang hadir.
“Program tahunan LAKMNS ini bertujuan untuk menyantuni masyarakat di sekitar Kuching untuk berbuka puasa bersama-sama di masjid tersebut,” katanya.

Awangku memberitahu pihak masjid telah menjemput pihak katering untuk menyediakan perkhidmatan makanan bagi menyediakan jamuan di sini.
“Menu jamuan akan bertukar pada setiap minggu,” ujarnya sambil menambah bacaan athlil ringkas turut diadakan sebagai program pengisian sebelum waktu berbuka puasa.
Menurutnya majlis bacaan tahlil akan dipimpin oleh ustaz daripada bahagian hal ehwal islam Masjid Jamek Negeri Sarawak pada setiap hari.
“Oleh itu, kita memberi peluang kepada orang ramai menyampaikan sedekah untuk arwah dan almarhumah dengan menyatakan nama kepada kami untuk kami tahlilkan.” ujar Awangku lagi.
Program seumpama ini juga katanya turut berlangsung di Masjid Bandaraya Kuching dengan skala yang sedikit kecil, iaitu hanya 100 pek makanan sahaja disediakan.
Awangku menambah perbelanjaan bagi program ini diperuntukkan pihak LAKMNS menerusi dana tahunan. -TVS