KUCHING, 31 Mac: Penghuni Rumah Panjang Peter Igoh Nanga Mujan Skrang, di Betong hilang tempat berteduh selepas kediaman mereka dijilat api petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, kebakaran pada 3.35 petang itu memusnahkan 100 peratus rumah panjang 27 pintu tersebut.
Beliau berkata enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong dikerah ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah rumah panjang namun penghuni berjaya menyelamatkan diri dan tiada kecederaan dilaporkan.
“Ketika ini kerja-kerja pemadaman dan ‘overhaul’masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.
Menurut kenyataan itu, jumlah sebenar penghuni masih belum dapat dipastikan dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian. -TVS