KUCHING, 31 Mac: Kompleks Pusara Islam Samariang (SICC) yang bernilai RM5.6 juta dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini.
Beroperasi selama 24 jam menurut Abang Johari kompleks berkenaan dilengkapi kemudahan pengurusan jenazah, pejabat urusan ruang solat, ruang serba guna, tandas, ruang parkir dan lain-lain kemudahan lagi untuk membantu melancarkan urusan pengebumian.
“Kita memberikan kemudahan ini supaya masyarakat islam di sekitar kawasan Semariang ini selesa dalam urusan pengebumian.”
“Ini termasuk untuk menguruskan jenazah dengan segera contohnya di waktu malam,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian SICC di Tanah Perkuburan Islam Samariang, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Abang Johari mengumumkan sebidang tanah untuk kegunaan tanah perkuburan Samariang turut diluluskan.
“Saya juga meluluskan sebidang tanah untuk kegunaan ini dan saya jangka ia dapat digunakan sehingga tahun 2050. Selepas itu ia terserahlah dengan pengurusan pimpinan yang baharu nanti,” ujarnya.
Terdahulu pada majlis pecah tanah kompleks itu sebelum ini Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) Datuk Abang Abdul Wahap Julai mendedahkan bangunan tersebut akan dibuka setiap hari dan beroperasi selama 24 jam.
Untuk rekod majlis pecah tanah bagi komplek ini telah diadakan pada 22 Disember 2020 dan disempurnakan oleh Datuk Abdul Rahman Junaidi.
Turut hadir Menteri Menteri Pelancongan, Industri kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Abdul Rahman Junaidi dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Tan Sri Datuk Amar Dr Abdul Aziz Husain.