KUCHING, 30 Mac: “Takkan saya nak jual tanah bapak saya,” demikian reaksi Presiden Sarawak United FC Dato Posa Majais ketika diminta mengulas berhubung isu tunggakan gaji pasukan malang itu yang dipercayai masih belum ada titik noktah.
Menurut Posa peruntukan yang telah diluluskan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi membantu pasukan itu didapati telah disekat oleh kementerian bertanggungjawab pada saat-saat akhir.
Baca artikel berkaitan:
- 1. Bekas pemain buntu, Sarawak United masih gagal lunas tunggakan gaji
- 2. Liga M3: Sarawak United ‘dikuliahkan’ Malaysia University
- 3. Liga M3: Sarawak United terus dirundung malang
Hal ini sekali gus menekan ‘bapa’ kepada pasukan itu apabila ada pihak yang menyalahkan dirinya semata-mata.
“Sekiranya tidak dapat membantu jangan beri harapan kapada kami, maklumkan awal-awal kepada saya agar saya boleh mencari jalan penyelesaian lain pada hujung tahun lalu.”
“Dan ketika Sarawak United FC telah berdaftar dan beraksi untuk saingan Liga M3, mengapa Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada minggu lepas tampil memaklumkan bahawa permohonan peruntukan itu tidak dapat diteruskan?,” soal Posa kembali dalam nada kesal ketika dihubungi TVS di sini, pada Rabu.
Bagaimanapun jelas Posa, pihaknya ketika ini telah membuat rayuan sekali lagi bagi tujuan itu untuk menyelesaikan masalah yang menghimpit itu dengan kadar secepat mungkin.
Posa jelas menyatakan kekecewaan beliau terhadap keputusan saat akhir kementerian terbabit yang disifatkannya telah menggagalkan usaha untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu pasukan berkenaan.
“Saya tidak akan membiarkan pasukan Sarawak lebur begitu sahaja.
“Sekiranya saya membiarkan perkara ini, ia akan menjadi sejarah hitam untuk bola sepak Sarawak kerana pasukan akan didenda dan tidak dibenarkan beraksi selama tiga tahun dalam mana-mana saingan liga negara.
“Saya telah menghabiskan berbelas juta ringgit duit saya sendiri untuk mengembalikan maruah bola sepak Sarawak apabila saya membeli pasukan Selangor pada suatu ketika dahulu,” tegasnya lagi.
Dalam pada itu Posa meminta semua pihak untuk tidak mencetuskan sebarang spekulasi terhadap isu gaji pemain ketika ini serta tidak menyalahkan dirinya semata-mata berhubung kegagalan ini.
Sehubungan itu, TVS ketika ini berusaha mendapatkan reaksi daripada Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah. -TVS