KUALA LUMPUR, 30 Mac: Kerajaan Sarawak mencadangkan supaya diwujudkan satu pangkalan data yang menggabungkan semua agensi berkaitan untuk melonjakkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negara ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, sistem berkenaan kelak boleh membantu pendaftaran syarikat PKS.
Kata beliau, pangkalan berkenaan juga boleh menjadi panduan supaya program – program yang bakal dilaksanakan tidak bertindih dengan yang sedia ada.
“Menerusi kewujudan pangkalan data, (mudah untuk) kita dapat menepati sasaran ditetapkan.
“Selain itu kerajaan juga akan tahu syarikat yang harus diberi keutamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada TVS selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) di Parlimen hari ini.
Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Parlimen dan turut dihadiri rakan sejawatnya, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick turut hadir.
Sementara itu, Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Sarawak memberitahu, cadangan berkenaan secara dasarnya telah dipersetujui pada mesyuarat itu.
“Kita harus mempunyai pangkalan data ini supaya semua data-data yang diperlukan dapat dikongsi bersama semua agensi yang terlibat,” katanya. -TVS