SIBU, 30 Mac: Polis sedang mengesan individu yang bertanggungjawab menyebabkan seorang pejalan kaki warga emas maut dalam kes langgar lari yang berlaku di Jalan Lanang sekitar 9. 30 malam Rabu.
Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, mangsa berusia 72 tahun dipercayai sedang melintas jalan apabila dilanggar sebuah kenderaan dari arah lorong kanan di lokasi kejadian.
“Kejadian berlaku apabila mangsa sedang melintas jalan telah bergesel dengan sebuah kenderaan kemudian terjatuh dan dilanggar oleh sebuah kereta yang tidak dapat dikenalpasti nombor plat pendaftaran dari arah lorong kanan sebelum pemandu kenderaan terbabit terus melarikan diri dari tempat kejadian,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Akibat kemalangan tersebut, mangsa mengalami cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat telah dibawa polis ke Hospital Sibu untuk tindakan lanjut dan bedah siasat.
Zulkipli berkata, pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian untuk tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohd Salman Zulfitri Sheekandar di 013-9999269 atau Balai Polis Trafik Sungai Merah di 084-217901
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – TVS