KUCHING, 30 Mac: Jumlah penumpang bas henti-henti di bawah Program Tambang Bas Kadar Rata RM1 di Sarawak menunjukkan peningkatan.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, data yang dimiliki kementeriannya menunjukan pertambahan bilangan penumpang sejak program ini diperkenalkan pada 2020.
Bagaimanapun beliau belum mempunyai angka sebenar trend peningkatan tersebut.
Justeru, beliau menafikan dakwaan yang mengatakan bas henti-henti tersebut jarang kelihatan di jalan raya dan tidak pernah penuh dengan penumpang.
“Prestasi bas bergantung kepada masa pada hari itu. Saya tidak mempunyai angka sebenar untuk itu dan dakwaan sedemikian adalah khabar angin semata-mata. Kami akan meneruskan program tetapi sudah tentu penambahbaikan perlu dilakukan,” katanya ketika ditemui ketika melakukan lawatan ke Taman Trafik Kenyalang, di sini, hari ini.
Sementara itu beliau turut memberitahu Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) juga bakal memiliki laluan khas dan tidak akan menghalang pengguna jalan raya yang lain.
“Jadi kita perlu melihat kepada perancangan infrastruktur jalan raya kerana pengangkutan awam mesti mempunyai laluan khusus dan hanya selepas itu penggunanya dapat tiba ke destinasi seperti dijadualkan,” katanya. – TVS