Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Datuk Idris Abdullah pada majlis serah terima tugas jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, hari ini. - Foto TVS.

PDRM di peringkat akhir tambah dua batalion PGA di Sabah

KOTA KINABALU, 30 Mac: Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini di peringkat akhir untuk mewujudkan dua lagi batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) di Sabah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata dengan penambahan itu kelak, Sabah akan mempunyai tujuh batalion PGA dengan yang baharu itu akan dinamakan sebagai Batalion 21 Nabawan dan Batalion 22 Kunak.

Menurutnya, pasukannya juga kini merancang untuk membina pos-pos kawalan di kawasan sempadan selain usaha meningkatkan keupayaan Pasukan Polis Marin (PPM).

“Hal ini mengambil kira faktor perkembangan dari sudut infrastuktur dan ekonomi negara jiran dan pembangunan di sempadan bagi memastikan ancaman yang datang dari arah laut dapat ditangani secepat mungkin,” katanya pada Majlis Serah Tugas Pesuruhjaya Polis Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini, hari ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dilantik sebagai Pemangku Pesuruhjaya Polis Sabah bagi menggantikan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah.

Katanya, PDRM tidak pernah bersikap sambil lewa berkaitan isu ancaman keselamatan membabitkan kumpulan pengganas khususnya di kawasan pantai timur Sabah walau pada ketika ini keadaan keselamatan di negeri itu berada dalam keadaan tenang dan terkawal.

PDRM katanya, tidak pernah melonggarkan sebarang kawalan atau penguatkuasaan sebaliknya langkah berterusan sentiasa diambil bagi memastikan kekuatan pasukan terus diperkasa.

“Ancaman datang dari pelbagai sudut yang bukan sahaja membabitkan isu perbatasan tetapi juga tuntutan pihak tertentu yang sentiasa mendatangkan masalah dari segi kesejahteraan dan keselamatan rakyat Sabah.

“Jadi tidak dapat dinafikan bahawa pihak berkuasa yang mempunyai autoriti akan terus melipatgandakan usaha supaya kita tidak terjebak dalam satu situasi atau terperangkap dalam keadaan yang tidak bersiap sedia,” katanya lagi.

Terdahulu beliau berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat pada hujung minggu ini bagi membincangkan dan memutuskan nama-nama yang akan dipilih bagi mengisi perjawatan penting dengan kadar segera. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan