Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi menyerahkan sumbangan kepada salah seorang wakil jawatankuasa masjid dan surau pada Majlis Penyampaian Sumbangan Majlis Islam Sarawak (MIS) kepada Masjid, Surau dan Tanah Perkuburan Islam pada hari ini. Foto TVS.

Sarawak tidak benarkan penceramah tidak ditauliah berceramah di negeri ini – Dr Abdul Rahman

KUCHING, 29 Mac: Kerajaan Sarawak tidak akan membenarkan penceramah bebas yang tidak ditauliah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) secara lengkap untuk mengadakan ceramah di masjid dan surau di negeri ini.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata perkara itu amat dititikberatkan Majlis Islam Sarawak (MIS), terutamanya Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).

Menurut beliau, pihaknya turut mengambil tindakan yang sama seperti di Semenanjung Malaysia berhubung penceramah bebas tidak digalakkan untuk mengadakan ceramah di surau atau masjid di sini juga.

Datuk Abdul Rahman Junaidi menyampaikan sumbangan bantuan mangsa gempa bumi Turkiye dan Syria sebanyak RM350 ribu pada Majlis Penyampaian Sumbangan Majlis Islam Sarawak (MIS) kepada Masjid, Surau dan Tanah Perkuburan Islam pada hari ini. Foto TVS.

“Terdapat beberapa orang yang tidak dapat diberi tauliah di Semenanjung. Jadi, kita juga mengambil tindakan yang sama. Namun, perkara ini pernah terjadi beberapa tahun lepas, sekarang sudah kurang kerana mereka tahu mereka tidak dapat memberi ceramah di surau atau masjid.

“Di peringkat MIS, terutamanya JAIS memberi penekanan hanya kepada penceramah yang mempunyai latar belakang agama yang lengkap untuk menyampaikan maklumat mengenai hal ehwal Islam kepada ahli-ahli surau atau masjid di seluruh Sarawak.

“Jadi, hanya mereka yang akan diberi tauliah. Setelah itu, tauliah dikeluarkan oleh Pengarah JAIS dari semasa ke semasa yang boleh menyampaikan ceramah di surau atau masjid kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Majlis Islam Sarawak (MIS) kepada Masjid, Surau dan Tanah Perkuburan Islam di sini, hari ini.

Dr Abdul Rahman menambah sekiranya penceramah tersebut masih mahu menyampaikan ceramah, individu berkenaan dinasihatkan untuk menghubungi pihak JAIS bagi mendapatkan kelulusan.

“Apabila pihak JAKIM di peringkat Persekutuan dari Semenanjung Malaysia tidak mengeluarkan tauliah tersebut, kita juga tidak akan mengeluarkan tauliah kepada penceramah yang terlibat,” tegasnya.

Terdahulu, majlis menyaksikan sebanyak 1,560 buah masjid dan surau di seluruh negeri ini menerima sumbangan daripada MIS.

Setiap jawatankuasa pengurusan masjid dan surau masing-masing menerima sumbangan berjumlah RM1,000.

Turut hadir Imam Besar Sarawak, Sahibul Fadilah Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi dan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan