LIMBANG, 29 Mac: Kehadiran seekor buaya sepanjang 1.8 meter yang tersangkut pada pukat yang dipasang di sebuah anak sungai menggemparkan penduduk di Kampung Loagan Limbun di sini, hari ini.
Khuatir akan keselamatan penduduk setempat, mereka telah menghubungi anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) Limbang bagi mendapatkan khidmat khas untuk mengeluarkan reptilia seberat 60 kilogram (kg) berkenaan.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Limbang, Leftenan (PA) Mirwan Shah Masri berkata, tiga anggotanya yang sedang melakukan pemantauan Monsun Timur Laut (MTL) terlibat dalam operasi berkenaan sebaik menerima laporan pada jam 9.28 pagi.
“Tiga anggota APM Limbang bersama seorang kakitangan Jabatan Hutan Sarawak (SFC) Limbang mengeluarkan buaya itu.”
“Buaya yang tersangkut pada pukat terbabit berjaya dikeluarkan dan kemudian diserahkan kepada pihak SFC Miri untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mirwan berkata lagi operasi melepaskan sang bedal yang tesangkut pada pukat itu mengambil masa kurang 30 minit.-TVS