Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni. Foto Bernama.

Parlimen: Lima klinik kesihatan sedang dibina di Sarawak

ByAhmad Burhanuddin

KUALA LUMPUR, 29 Mac: Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan lima buah klinik kesihatan sedang dibina di Sarawak, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, projek itu dilaksanakan di Lubok Antu, Julau, Serian, Lawas dan Daro.

Pada masa sama, beliau memaklumkan, KKM juga merancang untuk membina sebuah klinik kesihatan baharu di Saratok, Sarawak.

KKM berusaha atasi kekurangan klinik kesihatan luar bandar.

“Berkenaan pembinaan klinik baharu di Saratok, ketika ini KKM masih dalam proses mengenal pasti tapak yang sesuai.

“Untuk pengetahuan, di Saratok ketika ini mempunyai sebuah hospital dan klinik kesihatan iaitu Hospital Saratok dan Klinik Kesihatan Nanga Atoi,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Ali Biju (Perikatan Nasional – Saratok) yang ingin tahu usaha kerajaan untuk mengatasi isu kekurangan klinik kesihatan luar bandar di Sabah dan Sarawak supaya rakyat mendapat akses rawatan kesihatan yang sewajarnya dan perancangan khusus di Parlimen Saratok.

Sementara itu, beliau turut memberitahu, KKM komited untuk memastikan penyediaan fasiliti kesihatan yang optimum kepada rakyat termasuk di kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak.

“Pada masa ini, KKM telah menyediakan sebanyak 24 buah hospital di Sabah dengan kapasiti sebanyak 5,003 buah katil dan 23 buah hospital di Sarawak dengan kapasiti sebanyak 4,099 buah katil.

“Kesemua 47 buah hospital yang saya nyatakan ini adalah terdiri daripada hospital berpakar major, minor dan hospital tanpa pakar yang menyediakan jalinan perkhidmatan kepakaran melalui enam buah kluster hospital di dua wilayah berkenaan,” katanya di sini.

Mengulas lanjut, Lukanisman memaklumkan, bagi perkhidmatan kesihatan primer pula, KKM telah menyediakan 300 buah klinik di Sabah dan 244 buah klinik di Sarawak yang terdiri daripada klinik kesihatan, klinik kesihatan ibu dan anak dan klinik desa.

“Selain itu, pasukan kesihatan bergerak turut disediakan bagi memberikan capaian kepada perkhidmatan kesihatan ke kawasan yang lebih terpencil,” katanya.

Namun begitu, kata Lukanisman, pihaknya sedar masih terdapat jurang yang berlaku dari segi penyediaan fasiliti kesihatan di Sabah dan Sarawak khususnya di pedalaman. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan