KUALA LUMPUR, 29 Mac: Kerajaan Persekutuan diminta mengembalikan dua tapak sekolah terbiar di Batang Lupar kepada Kerajaan Sarawak supaya dapat dimajukan untuk manfaat rakyat setempat.
Ahli Parlimennya, Mohamad Shafizan Kepli berkata, tapak sekolah itu membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Beladin dan satu lagi di Pusa.
Katanya, perkara itu disuarakan dalam Sidang Parlimen semalam selaras dengan jaminan diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melawat Kuching pada Januari lepas.
“Perdana Menteri berkata, tanah milik Kerajaan Persekutuan di negeri yang dipajak sejak 1970-an dan 1980-an yang tidak dibangunkan atau tiada rancangan pembangunan, perlu dikembalikan kepada kerajaan negeri selepas tiga bulan.
“Perkara yang saya bangkitkan semalam melibatkan tapak lama SK Beladin yang sudah terbiar selama tujuh tahun.
“Ini menyebabkan berlaku aktiviti tidak bermoral selain masalah kecurian kayu dan peralatan sekolah lama itu,” katanya kepada TVS di sini hari ini.
Mohamad Shafizan turut memberitahu, penglibatan ‘banyak lapisan’ agensi kerajaan dalam isu berkenaan menyebabkan perkara itu berlarutan.
“Apabila pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tanya kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), mereka perlu merujuk kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) di Kuching.
“JPN pula menunggu keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) di Putrajaya,” katanya.
Ditanya bagaimana tapak sekolah berkenaan dapat dimajukan untuk manfaat penduduk sekitar, Mohamad Shafizan berkata, kerajaan negeri ingin membesarkan Dataran Datuk Temenggong Kadir di tepi sungai sehingga ke kawasan tapak sekolah itu.
“Bagaimanapun disebabkan tanah masih hak milik Kerajaan Persekutuan, projek itu terpaksa ditangguhkan dan itulah yang menjadi halangan kepada Kerajaan Sarawak,” katanya. -TVS